Sunday 17 August 2014

Bapa harap abu anak, cucu dibawa pulang bersama

MUAR: Ng Pae Soon, yang kehilangan dua anak perempuan dan seorang cucu dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, menaruh harapan tinggi agar abu jasad mereka dapat dibawa pulang bersama ke tanah air pada Jumaat ini.
Pae Soon, 67, pesara pembantu perubatan, yang bergerak menggunakan kerusi roda berharap abu mayat anak-anak dan cucunya itu dapat dibawa pulang bersama untuk disempurnakan dalam upacara pengebumian Buddha pada tarikh itu. 
"Mereka pergi bertiga, kita (keluarga) harap mereka pulang bertiga juga," katanya di rumahnya di Lorong Perkasa di sini, hari ini.

Anaknya Ng Shi Ing, 33, Ng Lye Ti, 30, dan cucunya Benjamin Lee Jian Han, 1, antara mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17 di Ukraine pada 17 Julai lalu.

Shi Ing, pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan Jurusan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas membentangkan kertas kerja pada satu persidangan di University of Antwerp di Belgium.

Shi Ing ditemani adiknya, Lye Ti dan anak lelakinya, Jian Han, dalam penerbangan itu.

Pae Soon berkata, jika jasad anak dan cucunya itu dikenal pasti, mereka akan dibakar terlebih dahulu di Amsterdam sebelum dibawa pulang ke Malaysia dan diserahkan kepada keluarganya di Muar.

Setakat ini, katanya pasukan penyiasat telah mengenal pasti dua jasad keluarganya dengan satu daripadanya disahkan sebagai Lye Ti namun identiti mayat kedua belum dapat disahkan.

Pesara kerajaan itu berharap identiti satu lagi jasad keluarganya dapat dikenal pasti secepat mungkin bagi membolehkan mereka bertiga dibawa pulang bersama-sama pada 22 Ogos ini.

Pae Soon berkata, beliau dan isteri, Tan Ah Chin, 62, dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai mayat anak-anak dan cucunya daripada menantunya Lt Komander Lee Vee Weng, 35, seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Kota Kinabalu.

Pasangan itu turut menerima maklumat daripada seorang anak lelakinya yang kini berada di Amsterdam.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, pula terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu. - Bernama
menarik lagi disini link
sumber:mymetro

No comments:

Post a Comment