Tuesday 19 August 2014

Kerajaan Kedah kaji semula enakmen hiburan

Kuala Nerang: Kerajaan Kedah akan mengkaji semula enakmen hiburan sedia ada bagi mengekang pertumbuhan pusat hiburan di negeri ini selain penyalahgunaan lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, dan Pembangunan Insan negeri Badrul Hisham Hashim berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan oleh Penasihat Undang-undang negeri bagi mengkaji semula enakmen itu. 
Katanya, enakmen itu akan menekankan prosedur yang ketat dan lebih telus agar pengusaha pusat hiburan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan yang ditetapkan. 

Beliau berkata, kajian enakmen tersebut diperlukan selepas terdapat rungutan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik yang mendakwa terdapat pusat hiburan yang beroperasi di kawasan perumahan yang mengganggu ketenteraman awam.

"Menerusi enakmen baru, pengusaha pusat hiburan yang beroperasi melebihi masa yang ditetapkan dan melanggar peraturan yang ditetapkan tidak akan diperbaharui lesen yang tamat tempoh," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang di sini, hari ini.

Badrul Hisham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang berkata, enakmen baru itu akan dibawa pada sidang DUN pada tahun hadapan selepas kajian mendalam dilakukan oleh jawatankuasa ditubuhkan. 

Katanya, kelulusan lesen hiburan di negeri ini berbeza dari negeri lain kerana kelulusan lesen itu dibuat oleh Pegawai Daerah dan bukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Beliau berkata, menerusi enakmen baharu itu setiap kelulusan akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk parti politik sebelum meluluskan lesen hiburan di sesuatu tempat. 

"Kalau ada pegawai yang tak ikut prosedur yang ditetapkan kita tak teragak-agak untuk akan ambil tindakan tegas," katanya. - Bernama
sumber;mymetro

No comments:

Post a Comment